Powered By Blogger

Saturday, 22 December 2012

Ciri-Ciri Silat


Silat Cekak Hanafi ialah sejenis silat bela diri yang benar-benar asli, bukannya sejenis silat permainan atau Silat Olahraga.

Silat Cekak Hanafi mempunyai kaedah-kaedah yang tetap dengan mempunyai buah-buah pukulan dan kunci-kunci tangkapan yang cukup dan kemas. Pergerakan dan sistem silat ini adalah berasaskan gerak geri semulajadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama Islam.

Pelajarannya lebih menitikberatkan dari segi mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamatan diri barulah Silat Cekak Hanafi menyerang.

Silat Cekak Hanafi menunggu serangan dengan berdiri lurus( berdiri sembahyang ) dan tidak mengelak ke kiri dan ke kanan bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu, makan gerak dalam gerak, sebab sebenarnya hakikat Silat Cekak Hanafi ialah Silat Gerak.

Yang paling istimewa dan ganjil sekali di dalam kaedah serangannya; dikala ia menyerang dan jika musuh mengelak, pasti kena dan sekiranya ditepis pula pasti dimakannya. Tambahan pula sambil menyerang ia dapat menangkap (Cekak menyerang, Cekak menangkap ).

Penuntut-penuntut menangkis pukulan dan tikaman senjata-senjata dengan tangan kosong sahaja. Matlamat Silat Cekak Hanafi ialah menangkis pukulan senjata-senjata sambil dapat merampas senjata lawan.

CIRI-CIRI PEMBELAJARAN

Silat Cekak Hanafi diajar secara berpakej dan diajar sehingga tamat. Dalam kaedah biasa, pakej sehingga tamat silat ini dapat disempurnakan di dalam tempoh 6 bulan. Tempoh ini boleh diselaraskan dengan keperluan sesuatu kelas seperti di sekolah- sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi. Selapas tamat, penuntut -penuntut boleh meningkatkan kemahiran secara bersendirian atau mengikuti kelas-kelas kemahiran yang diadakan dari masa ke semasa.

Sebagai silat yang berasaskan gerakan seni, maka ia tidak memerlu dan tidak menekankan keperluan kekuatan dan tenaga luar biasa untuk mengalahkan musuh.

Kaedah pembelajaran bersistematik dan tidak menerukkan diri dan membolehkan penuntut mempertahankan diri walaupun di tempat-tempat yang sempit seperti di atas papan sekeping.


PANTANG LARANG

Tidak menderhaka kepada guru
Tidak menderhaka kepada ibu
Tidak menderhaka kepada bapa
Tidak bergaduh sesama ahli
Tidak mencaci silat melayu asli yang lain.

BUAH SILAT

Terdapat 21 buah kesemuanya di dalam sistem pembelajaran Silat Cekak Hanafi. Kaedah asas dibahagi kepada 4 iaitu:

Kaedah A adalah diilhamkan daripada gerakan doa.Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 11 buah iaitu:

Buah Pertama,Buah Kilas Belakang,Buah Kidung Kiri,Buah Hentak,Buah Ali Patas Atas,Buah Ali Patah Sudah Pecahan Pertama,Buah Selendang,Buah Paras,Buah Keputusan Pasong Kemanga,Buah Luncur,Buah Siku Potong.

Kaedah B adalah diilhamkan dari gerakan Qiam dalam sembahyang.Daripada kaedah Qiam ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 5 buah iaitu:

Buah Keputusan Gayung Fatani,Buah Keputusan Sendeng Atas,Buah Kuntau Jatuh,Buah Gari,Buah Ali Patas Sudah Pecahan Kedua.

Kaedah C adalah diilhamkan dari gerakan rukuk dalam sembahyang.Daripada kaedah rukuk ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 3 iaitu:

Buah Kilas Hadapan,Buah Keputusan Terlak,Buah Keputusan Lintau

Kaedah D adalah diilhamkan oleh gerakan takbiratul ihram dalam sembahyang.Daripada gerakan itu maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak hanafi sebanyak 1 iaitu:

Buah Hempok.

Senjata Rasmi Silat Cekak


Parang Lading
Lading adalah alat unik bermata satu yang telah berbakti kepada bangsa Melayu bukan sahaja sebagai alat pertanian, bahkan juga peperangan. Meskipun ia bermula sebagai alatan pertanian, namun kepelbagaian fungsi Lading menjadikan ia kegemaran kelompok tertentu.

Perkataan Lading wujud dalam kamus bahasa segelintir masyarakat Nusantara, antaranya masyarakat Banjar, atau masyarakat Kutai, yang menakrifkan Lading sebagai sejenis pisau. Namun begitu, tarikh sebenar bermula rekabentuknya Lading gagal dikesan. Apapun yang jelas, bentuk asas Lading sejajar dengan struktur asas parang biasa.

Huraian ini bertujuan menafsirkan penggunaan Lading sebagai senjata dan senjata ini secara umumnya ditakrifkan sebagai sejenis parang, yang terdiri dari tiga bahagian utama: Hulu, Bilah, dan Sarung.

Para pengkaji sejarah umumnya bersetuju Lading berasal dari Sumatera, Indonesia, dan penggunaan Lading berkembang ke sebarang Selat Melaka dan menemui tempat di Kedah, yang pada masa itu sebuah kerajaan trans-Melayu yang mempunyai pengaruh politik dan dagangan yang kuat dengan kerajaan Acheh.

Namun begitu, tidak semua beranggapan begitu, berdasarkan kepada fakta bahawa kerajaan Kedah antara kerajaan tertua di dunia, bahkan jauh lebih tua dari kerajaan Acheh. Wallahualam.

Gambar yang berikut adalah Lading buatan Sumatera:




Ketika Darurat menyelubungi Tanah Melayu dari 1948 hingga 1960, masyarakat Banjar menyatukan bangsa Melayu di Sungai Manik, Perak menentang ancaman Komunis. Kebangkitan di Sungai Manik adalah contoh peperangan gerila dan penggunaan Lading begitu menonjol dalam kempen yang digelar Perang Sabil, atau Perang Sungai Manik.

Di Tanah Melayu, Lading tidak terkenal sepertimana Keris. Bkan ia seringkali dikelirukan dengan sejenis alat lain, Kelewang, yang turut digunakan dengan meluas di Kedah dan Kelantan.Gambar yang berikut adalah Kelewang buatan Kelantan:


Lading, untuk memudahkan pemahaman, diringkaskan kepada kepada dua susur galur berdasarkan lokasinya iaitu jenis Sumatera dan Tanah Melayu, dan jenis Tanah Melayu juga terbahagi kepada dua: Lading (am) dan Lading Cekak.Perbezaan yang ketara antara Lading Tanah Melayu dan Sumatera ialah jenis pertama dibuat tanpa sarung, tidak seperti saudaranya dari tanah seberang. Harus diingat bahawa Lading (am) ialah pertama sekali sebagai alat kebun dan tidak dibuat menurut rukun-rukun tertentu dalam pembuatannya.

Lading Cekak
Membicarakan Lading Cekak, senjata ini mula menonjol di mata masyarakat moden bersama-sama Almarhum Ustaz Hanafi di kemuncak penubuhan Silat Cekak sebagai penerus tradisi pendekar Melayu Kedah.Gambar yang berikut adalah contoh Lading Cekak:


Menurut sejarah Silat Cekak, panglima-panglima perang Kedah membawa Lading ke medan perang. Yang paling terkenal adalah Panglima Ismail dan Panglima Tok Rashid.Dalam sejarah moden, Parang Lading ini hanya dianugerahkan kepada orang-orang yang telah mencapai satu peringkat tertentu serta terbukti kesetiaannya kepada persatuan. Selalunya mereka yang mendapat anugerah ini adalah mereka yang telah bergiat aktif di dalam persatuan selama lebih dari 10 tahun.

Lading Cekak mempunyai tiga bahagian yang unik:

-Ukuran

-Genggam, serta

-Mata bilah

Sejajar dengan falsafah persenjataan Nusantara, Lading juga dibuat mengikut rukun-rukun tertentu yang disesuaikan mengikut ukuran tubuh penggunanya. Setiap ukuran sejajar tersurat dengan makna-makna tertentu.
Ukurannya adalah seperti berikut:


Panjang parang ini adalah sama dengan jarak dari telinga kiri ke mata kanan atau dari telinga kanan ke mata kiri si pemakai.
Falsafahnya: Apa yang terlihat dan terdengar pasti kena. (Bahagian A)

Lebar parang di sebelah hulu adalah sama dengan lebar kuku ibu jari si pemakai. (Bahagian B)


Lebar di hujung parang ini adalah sama dengan panjang ibu jari si pemakai. (Bahagian C)


Panjang mata parang pula adalah sama dengan jarak diantara dua mata si pemakai. (Bahagian D)


Hulu parang ini mengambil bentuk tapak rusa dan dibuat dari tanduk kerbau Malau betina. (Bahagian E)

Gaya Genggam
Pengamal Silat Cekak diajar menggunakan genggaman terbalik, menyembunyikan senjata ini dibelakang tangan.Hulunya dibuat dengan rekabentuk ergonomik, menyelesakan penggunanya menggenggam senjata itu di kedua-dua belah tangan.Sebarang senjata,yang digenggam dengan cara terbalik, secara alami akan terjarak dari belakang tangan. Ini memaksa pergelangan bengkok ke bawah supaya bilah senjata kekal sejajar dengan belakang tangan.Namun rekabentuk Lading yang inovatif menangani masalah tersebut. Hulunya dibuat melencong dari tangan, manakala bilahnya melencong kearah tangan, kadangkala dalam segi yang tajam, lantas mengurangkan ketidakseimbangan Lading kepada kosong.Rekabentuk ini, dinamakan Lentik Pelepah Kelapa.

Bilah
Mata bilah Lading bukan sepanjang-panjang bilah tersebut. Mata yang tajam terletak dalam lingkungan beberapa sentimeter di hujung bilah. Innovasi ini membolehkan Lading berperanan bukan sahaja sebagai senjata memotong, bahkan turut menganjak fungsinya sebagai senjata perlindungan yang berkesan.Bahagian Lading yang tumpul boleh digunakan untuk mengilas serangan tangan atau kaki dengan menemukan bilah tersebut ke bahagian tangan atau kaki musuh. Disaat besi tumpul itu bertemu daging mangsa, gerakan yang melurut meletakkan tekanan yang kuat keatas bahagian tersebut, sehinggalah daging itu dicarik oleh bahagian Lading yang tajam.Apa yang terjadi adalah pemotongan yang dalam dan bersih sehingga ke tulang, dengan hanya mengaplikasikan gerakan singkat.Oleh kerana pengguna Lading tampak ‘tidak besenjata’, musuh seringkali dikejutkan dengan kilasan yang mapan yang memotong disaat-saat terakhir.

Penggunaannnya
Lading di tangan pengamal Silat Cekak digeruni kerana ia adalah tambahan kepada buah-buah persilatan tersebut. Oleh kerana dasar tempur Silat Cekak menggunapakai falsafah 99 peratus bertahan dan 1 peratus menyerang, Lading tidak digunakan untuk memulakan serang, tetapi untuk membalas serangan.